Sunday, July 26, 2009

Yasmin Ahmad Perginya Seorang Insan Istimewa



Tahun ini kita banyak dikejutkan dengan pemergian insan-insan yang agak terkenal dalam usia awal 50-an.Saya sendiri secara peribadi kehilangan ayah yang meninggal dalam usia 51 tahhun pada 12 April tahun ni. Juga dunia dikejutkan dengan Michael Jackson yang meninggal secara tiba-tiba akibat pengambilan dadah berlebihan.Raja Pop ini turut mengejutkan dunia apabila dia rupanya telah memeluk Islam dan pelbagai kontroversi yang turut mengiringi pemergiannya.
Baru-baru ini juga Yasmin Ahmad meninggal dunia akibat serangan strok, setelah pembedahan yang dijalankan untuk membuang ketulan darah beku di otaknya gagal.

Ternyata saya secara peribadi menerima banyak kejutan dari persekitaran. Lumrah alam, yang hidup pasti akan pergi. Berkisar mengenai Yasmin Ahmad.Hmmm kenapa memilih untuk menulis mengenainya? Saya sendiri kurang pasti, tapi ternyata dia salah seorang pengarah yang dekat karya nya dengan jiwa aku.Sebenarnya terlalu sedikit yang saya tahu mengenai peribadinya. Walaupun pelbagai kontroversi melanda dirinya baik peribadi mahupun karya-karyanya dia tetap cekal memperjuangkan idealoginya yang cukup unik.

Karya-karya Yasmin Ahmad yang sering kita tatap antaranya iklan keluaran petronas, sering meruntun hati kita.Ringkas, padat dengan mesej kasih sayang, perpaduan dan lain-lain nilai positif mengambarkan jiwanya. Begitu juga dengan karya-karya nya seperti Sepet,Gubra, Rabun , Talentime , Muksin dan lain-lain. Memang terdapat kritikan terhadap filem-filem nya yang agak sensitif bagi kita rakyat Malaysia yang kebanyakkan masih berfikiran konservatif. Tapi saya menonton filem-filem nya dengan fikiran terbuka dan saya mengerti apa yang ingin disampaikan oleh Yasmin Ahmad yg ternyata cukup kreatif menyelitkan unsur-unsur Islam dan tolak ansur sesama manusia, tanpa mengira agama atau bangsa.

Yasmin Ahmad seorang wanita yang berani mempertaruhkan idea dan pendapat melalui karya-karyanya.Secara peribadi saya sebenarnya amat mengagumi beliau seperti juga rakyat Malaysia yang lain. Pemergiannya umpama hilangnya sebutir bintang di persada seni kita. Diharapkan idea-ideanya bakal menjadi inspirasi buat golongan muda dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Semoga Allah mencucuri rahmat buat beliau dan Al-Fatihah buat Yasmin Ahmad.

No comments: